Kenyataan Rasmi Pengerusi I.Q.RaC - IQRAC - Intellectual Quranic Generation Association

Post Top Ad

Your Ad Spot

Anda Pengunjung yang ke :

Saturday, 14 November 2009

Kenyataan Rasmi Pengerusi I.Q.RaC

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Alhamdulillah, puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT yang sentiasa mengurniakan nikmat Iman dan Islam kepada kita.Selawat dan salam dipanjatkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Kenyataan rasmi ini dikeluarkan untuk memberi peringatan kepada segelintir ahli Intellectual Quranic Generation Club (IQRAC) yang cuba menimbulkan beberapa polemik sehingga menyebabkan kecelaruan di kalangan ahli IQRAC sendiri.Masalah ini bukan sahaja menimbulkan pandangan negatif terhadap seseorang malah yang lebih dahsyat akan timbul fitnah yang menyebabkan perpecahan.


Berhubung dengan perkara tersebut, suka saya nyatakan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian buat semua.Pertamanya, mereka perlulah cerdik dalam membezakan perkara yang boleh dibincangkan secara umum dan perkara yang tidak perlu dibincangkan secara umum.Apatah lagi jika mereka ini membesar-besarkan sesuatu perkara kepada mereka yang tidak pernah mengikuti secara langsung dan tidak pernah mengkaji secara mendalam tentang permasalahan yang berlaku.

Seterusnya, mereka sepatutnya adil dalam membincangkan sesuatu perkara.Tindakan mengerat-ngerat fakta untuk kepentingan individu atau kumpulan hanya menjatuhkan intergriti mereka.Samalah sahaja tindakan mereka ini dengan membiarkan seorang yang buta untuk mengenalpasti bagaimanakah rupa seekor gajah.Apabila disentuh belalai,dikatakan gajah itu panjang.Apabila disentuh kaki,dikatakan gajah itu gemuk.Apabila disentuh ekor,dikatakan gajah itu kecil.

Dalam mendapatkan kesahihan sesuatu perkara, suka saya nasihatkan agar sentiasa merujuk kepada pimpinan tentang sesuatu perkara.Ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan ahli IQRAC sehingga menimbulkan kecelaruan.Ia juga bagi memastikan berita-berita yang tidak betul dapat dibersihkan secepat mungkin.

Dengan itu, suka kami ingatkan agar hal sebegini tidak berulang lagi selepas ini.Pihak kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat jika perkara sebegini masih berulang.Janganlah kita menjadi orang yang paling lantang melaungkan slogan KESATUAN UMMAH namun dalam masa yang sama kitalah yang menimbulkan masalah seperti yang dinyatakan sebelum ini.Harapan saya kepada yang sentiasa menyatakan bahawa mereka boleh bersatu di bawah satu panji dapat membuktikan apa yang diperkatakan.

Akhir kalam, di kesempatan ini kami mengucapkan Salam Imtihan kepada semua warga IQRAC.Semoga semua mendapat pertolongan daripada Allah.Kami juga berharap agar kita sama-sama menjaga adab dalam menjalankan gerak kerja Pilihan Raya Kampus .Semoga ukhuwah yang terbina selama ini diteruskan dan dapat diperkukuhkan.

Sekian,
Wassalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh.

Salam hormat dari saya,
Pengerusi,

Post Top Ad

Your Ad Spot